Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Enggan terkubur begitu saja selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), penganalisis politik menyifatkan Pas kini mula mencari kapal agar tidak tenggelam.

Menurut Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, parti tersebut menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan yang nampaknya tidak senada degan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila menyatakan beliau yakin Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain termasuk Barisan Nasional (BN).

Kata Salawati, kenyataan Takiyuddin itu hanya membuktikan ketidaksefahaman yang kini mula berlaku antara Pas dan Bersatu.

“Pas sekarang mencari kapal agar tidak tenggelam. Ini cara Pas, yang akhirnya menampakkan keretakan dalam PN. Ini hanya menunjukkan cara Pas berfikir sebenarnya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut beliau berkata, kenyataan tersebut jelas mengundang impak negatif terhadap hubungan bersama Bersatu yang sudah terang lagi bersuluh tidak mahu bekerjasama dengan UMNO.

Bagaimanapun Salawati tidak menafikan Pas sedang mencari strategi politik lain yang boleh menguntungkan parti itu.

“Yalah, dalam kepala masing-masing ada fikiran sendiri, tapi rakan lain dalam kapal tidak fikir begitu, dan kita sudah tahu tidak mungkin Bersatu nak bersama kembali dengan UMNO tapi Pas mahu melihat yang menguntungkannya juga,” tambah beliau.

Namun dari sudut lain, penganalisis politik itu berpendirian Takiyuddin mungkin mengeluarkan kenyataan tersebut demi meraih undi daripada penyokong UMNO pada saat-saat akhir.

“Setidaknya kalau pengundi UMNO dengar mungkin mereka akan mempertimbangkan untuk boleh memangkah Pas juga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast