Chester Voo Chee Soon

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyeru semua pengendali helikopter segera meningkatkan kesedaran situasi dan promosi keselamatan dengan disiplin dan pematuhan yang ketat.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo berkata, penting bagi semua juruterbang mempunyai kesedaran situasi berkaitan lokasi, keadaan penerbangan, konfigurasi, keadaan teknikal pesawat serta faktor-faktor lain yang boleh menjejaskan keselamatan termasuk keadaan muka bumi, halangan, kelulusan penggunaan ruang udara dan sistem cuaca.

”Dengan meningkatkan kesedaran situasi, ia dapat mempengaruhi sesuatu keputusan yang dibuat serta membolehkan anak kapal dapat memberi jangkaan lebih baik untuk perkara mendatang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, CAAM mengadakan satu taklimat keselamatan sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran keselamatan kepada pengendali-pengendali helikopter di Malaysia.

Pengendalian helikopter adalah sangat unik kerana ia bukan sahaja tangkas malah sesebuah helikopter mempunyai kebolehan untuk mendarat dan berlepas dalam pelbagai situasi.

Hal ini menjadikan helikopter sebagai pengangkutan pilihan terutamanya bagi kawasan pedalaman dan sukar untuk diakses di seluruh Malaysia.

Justeru, katanya, taklimat keselamatan ini merupakan sebahagian daripada komitmen CAAM untuk meningkat dan memperkasakan pengawasan keselamatan bagi pengoperasian helikopter di negara ini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan banjir yang bakal berlaku di mana pengoperasian helikopter di negara ini dijangka meningkat.

Taklimat keselamatan ini dihadiri Pengurus Bertanggungjawab, Pengarah Operasi Penerbangan dan Pengurus Keselamatan dari lebih 10 operator helikopter di Malaysia yang memfokuskan mengenai beberapa perkara berkaitan keselamatan termasuklah kepentingan pelaporan kejadian keselamatan daripada industri penerbangan umum
demi membudayakan aspek keselamatan.

Dengan pelaporan kejadian keselamatan yang konsisten, ia akan meningkatkan keselamatan pengoperasian pesawat melalui pengesanan isu operasi dan sistem tepat pada masanya.

Ini memainkan peranan penting dalam usaha pencegahan kemalangan bagi mengenal pasti tindakan pemulihan yang
sesuai melalui analisis segera data keselamatan dan pertukaran maklumat keselamatan.

Ini bersesuaian dengan Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 (CAR 2016) Peraturan 165, mengenai keperluan untuk mengemukakan Mandatory Occurrence Report (MOR) apabila berlakunya kejadian dalam Malaysia atau melibatkan pesawat yang dikendalikan oleh operator Malaysia, katanya. – MalaysiaGazette