KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA)  bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa ketika pulang ke kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada Sabtu ini.

Lebuh raya itu dijangka menghadapi peningkatan trafik di antara 1.8 juta hingga 1.9 juta sehari di rangkaian lebuh raya kendaliannya. Peningkatan trafik tersebut dijangka bermula pada 17 November sehingga 21 November ini.

Bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang bermula 16 November hingga 18 November, PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

”Manakala, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya di antara jam 1:00 petang hingga 4:00 petang,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan di sini.

Untuk perjalanan pulang semula ke Lembah Klang dan ibu kota bermula 20 November hingga 21 November pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

PLUS juga meminta orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bergerak ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi dan merancangperjalanan dengan lebih awal untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.

Pengguna juga perlu menjangka akan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa.

Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut, tambah beliau.

Persediaan ini merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

PLUS turut menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 November sehingga 21 November 2022 kecuali kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja
pembaikan yang kritikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast