Gambar hiasan

KUALA SELANGOR – Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap seorang calon Parlimen Kuala Selangor kerana memuat naik kertas undi pos di akaun Facebook miliknya, 13 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, ia susulan tindakan orang awam yang melihat hantaran itu dan tampil membuat laporan pada jam 5 petang semalam.

Beliau berkata, hantaran mengenai penyebaran satu kertas undi pos terbabit kelihatan sudah ditanda sebelum disebarkan di media sosial.

Ramli Kasa

“Penyebaran kertas undi pos itu mungkin akan menjejaskan atau sedikit sebanyak mengganggu perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Polis akan berbincang dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Ahad lepas, seorang calon Parlimen Kuala Selangor didakwa memuat naik sekeping kertas undi pos di akaun Facebook miliknya.

Hantaran itu antara lain menyebut, “Alhamdulillah, ada pengundi pos hantar dekat saya, saya tidak kenal pengundi itu, terima kasih”.

Calon Parlimen itu turut menggesa ibu bapa mencontohi pilihan pengundi pos sambil berkata, “Kepada ibu bapa, anda boleh tunjukkan cara pangkah ini kepada anak anda yang pertama kali mengundi”.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebar dan mengambil gambar kertas undi dan dimuat naik di media sosial.

“Orang ramai diminta mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan SPR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast