Isham hadir di Pusat Pengundian Awal di IPK Selangor, Shah Alam dan sempat beramah mesra dengan pengundi di kalangan anggota polis.

SHAH ALAM – Isham Jalil berjanji akan membawa amanah dan aspirasi anggota pasukan keselamatan ke Parlimen untuk didengari kerajaan Persekutuan sekiranya beliau diberi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam itu berkata, selama ini pun ketika BN memerintah, kebajikan anggota keselamatan ini sentiasa dijaga.

“Sebagai penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan selama 20 tahun, saya ada pengalaman sebagaimana dihadapi anggota keselamatan ini, terutama pada hari mengundi.

“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik dan bawa amanah mereka kalau saya ke Parlimen 20 November ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses mengundi awal anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Isham dan calon PH, Azli Yusof sempat bersalam ketika sama-sama sampai di Pusat Pengundian Awal IPK Selangor di Shah Alam pagi ini.

Mengulas lanjut mengenai proses pengundian, beliau yang tiba di Pusat Pengundian Awal di IPK itu kira-kira jam 9 pagi, berpuas hati dengan proses berkenaan.

“Alhamdulillah, setakat ini berjalan dengan lancar. Saya ingat pengundi awal polis, campur dengan anak dan isteri mereka mungkin ada dalam 4,000 hingga 5,000 pengundi.

“Undi awal ini penting kepada kita, walaupun keputusannya akan diumumkan Sabtu ini, tetapi saya tengok kali ingin angin sudah berubah berbanding PRU14.

“Peluang untuk BN menang adalah lebih baik dan polis boleh juga menjadi penentu sama ada kita (BN) berjaya atau tidak,” katanya. – MalaysiaGazette