putar alam
Mohamad Hasan beramah mesra dengan jentera BN pada program bersama Tok Mat di Sunggala Gateway, Port Dickson, hari ini.

PORT DICKSON – Rakyat dinasihatkan supaya tidak mempercayai dapatan beberapa kaji selidik kononnya Barisan Nasional (BN) ketinggalan berbanding parti-parti lain daripada segi sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah melakukan semakan dengan tiga perunding yang dikatakan membuat kaji selidik tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, ketiga-tiga perunding terbabit menafikan mereka melakukan kaji selidik berkenaan.

“Kita tahu siapa yang buat, tak apalah mereka nak buat tapi orang jangan percaya, semak dahulu sama ada betul sama perunding-perunding ini ada buat kaji selidik.

“Tak betullah apa yang dilaporkan itu, cuma orang buat perang psikologi kata BN tak boleh menang.

“Jangan terpedaya dan tertipu lagi kerana mereka banyak kaki putar alam di sebelah sana,” katanya kepada pemberita selepas program Sepetang Bersama Tok Mat di Sunggala Gateway, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, calon BN bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk P. Kamalanathan.

Pada masa yang sama, Mohamad yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau meminta jentera parti agar berwaspada terhadap kemungkinan sabotaj yang dilakukan oleh pihak lawan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, terdapat laporan daripada pihak keselamatan tentang kemungkinan sabotaj berlaku lebih-lebih lagi setelah beliau menyatakan keyakinan bahawa BN akan membentuk kerajaan.

“Orang akan menggunakan pelbagai cara, sabotaj. Ada juga saya dengar laporan keselamatan mengenai parti lawan apa orang kata buah durian sudah runtuh.

“Macam-macam taktik digunakan jadi saya harap jentera kita berwaspada, kita jangan terganggu dan kita teruskan gerak kerja untuk mendekati pengundi di mana tempat yang kita boleh pergi,” jelasnya.

Beliau juga percaya pola pengundian yang menunjukkan golongan muda menyokong BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diulangi pada PRU15.

Mohamad berkata, golongan muda sudah muak dengan politiking tidak berkesudahan dan ketika ini ramai dalam kalangan mereka memerlukan pekerjaan.

“Mereka memikirkan kehidupan dan dah nampak kerajaan yang mereka beri peluang pada PRU-14 tidak boleh menunaikan janji dan tidak boleh menguruskan kerajaan dengan baik,” katanya.

Beliau menambah, akibat kegagalan PH, keyakinan pelabur luar negara dan domestik mula luntur dan mereka tidak berminat untuk menambah modal atau melabur.

Sebaliknya, Mohamad berkata, ekonomi negara mula pulih dalam masa yang singkat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih pentadbiran negara.

“Perkembangan ekonomi baik sekali pada suku kedua 8.9 peratus dan kita ingat suku ketiga pun tak lebih 10 peratus.

“Tetapi dua hari lepas, Bank Negara Malaysia mengumumkan pertumbuhan ekonomi kita merekodkan tertinggi di Asia 14.9 peratus. Ini mengejutkan semua orang,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.