Anthony Loke

BANGI — Perikatan Nasional (PN) didakwa sedang mengalami kecelaruan dalaman apabila beberapa pemimpin utama dalam parti dilihat tidak sehaluan.

Malah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah sememangnya harapan parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya rasa apa yang dikatakan oleh Takiyuddin itu memang hasrat mereka, cuma dari segi taktikalnya telah buat silap, sebab itu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa menafikannya,” katanya pada sidang media di Restoran Roti Canai 17, Taman Kajang Raya, di sini hari ini.

Semalam media melaporkan Takiyuddin mendedahkan parti itu akan bergabung dengan (BN) pasca PRU15 jika pihaknya tidak dapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Muhyiddin menegaskan, tujuan gabungan parti itu bertanding pada PRU kali ini adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bekerjasama dengan BN atau PH.

Malah, beliau juga tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung Pas itu untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

Terdahulu beliau menemani Calon PH Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menyantuni penduduk di sekitar kawasan itu.

Mengulas mengenai keyakinan PH membentuk kerajaan selepas 19 November ini, Anthony berkata, ia tidak mustahil berikutan sokongan rakyat yang positif dalam program-program Jelajah Harapan yang diadakan seantero negara.

Katanya, sokongan padu itu adalah beralaskan barisan kepimpinan dan mesej yang jelas untuk rakyat.

“Saya melihat bahawa kempen PRU kali ini ada momentum yang kuat untuk PH dan berharap momentum ini dapat dimaksimumkan supaya PH mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada malam 19 November ini.

“Tidak mustahil (membentuk kerajaan), kita mampu melakukannya kerana sokongan rakyat agak baik di merata tempat di setiap negeri, di program-program jelajah kita. Saya rasa kita pada kali ini telah mengadakan satu kempen yang sangat teratur dan positif.

“Kita ada kepimpinan yang jelas, manifesto yang paling awal diumumkan. Kita mempunyai satu kempen yang bersepadu di antara parti-parti komponen.

“Melihat bahawa kita ada satu mesej yang sangat jelas bahawa undi pakatan harapan ialah supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin Malaysia keluar dari kemelut hari ini,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast