Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni dengan masyarakat setempat yang hadir pada Program Ramah Mesra bersama Penduduk Kampung Mengkarak Station sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 16 NOVEMBER 2022.

BERA – Hasil tinjauan berkaitan bilangan pecahan kerusi-kerusi yang bakal dimenangi parti-parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebenarnya bergantung kepada kecenderungan pihak yang menjalankan kajian itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaran kajian itu melalui media sosial merupakan strategi parti yang bertanding untuk mempengaruhi para pengundi atas pagar.

“Setiap parti ada engaged dengan syarikat yang membuat survey, jadi kalau dia dibayar oleh parti yang berkaitan maka laporannya akan ke arah parti berkaitan,” katanya yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Mengkarak Station di sini hari ini.

Ismail Sabri sebelum itu diminta mengulas berkenaan laporan kajian bebas mengenai kedudukan kerusi parti bertanding PRU15 yang tular di media sosial.

“Jadi sebab itu bagi saya, jangan kita terpengaruh, ini merupakan psy war (perang saikologi) daripada parti pembangkang untuk menarik golongan atas pagar yang masih belum membuat keputusan.

“Apabila melihat seolah-olah mereka (parti pembangkang) menang, jadi akhirnya (pengundi atas pagar akan cenderung ke arah mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menyeru orang ramai agar tidak mudah percaya dengan propaganda yang dimainkan pihak pembangkang dan kekal menyokong BN.

Sebelum ini, tular kajian dapatan badan penyelidik yang mengatakan BN kini ketinggalan dalam memenangi kerusi berbanding parti-parti bertanding seterusnya memberi bayangan gabungan parti itu bakal kalah pada PRU15.-MalaysiaGazette