Deepak Jaikishan.

KLANG – Ahli Perniagaan Deepak Jaikishan yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Bebas bukan kerana ditaja oleh mana-mana pihak mahupun parti-parti politik utama di negara ini.

Sebaliknya kemunculan Deepak yang menggunakan simbol cincin pada PRU15 adalah kerana kecewa dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) sebelum ini.

“Saya sebenarnya datang sini untuk menang, saya teringin sangat membawa suara berani saya ke Parlimen, saya tidak diupah, saya seorang peniaga yang sangat berjaya, dan tak boleh dibeli.

“Saya buat ini kerana saya kecewa dengan kedua-dua belah parti, PH dan BN, saya tak boleh percaya dengan puak-puak politik,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Parlimen Klang bakal menyaksikan pertembungan tujuh kerusi melibatkan lima calon parti politik dan dua Bebas.

Calon parti bertanding iaitu Tee Hooi Ling mewakili Barisan Nasional (BN), V. Ganabatirau (PH), P. Jaya Chandran (PN), Loo Cheng Wee (Warisan) serta S. Chandrasegar (PRM).

Selain Deepak, seorang lagi calon Bebas yang bertanding ialah Hedrhin Ramli.

Dalam pada itu, Deepak memberi jaminan untuk membersihkan Malaysia daripada pemimpin yang korup dan cuba mengawal penguatkuasa dan media untuk mengelakkan pendakwaan sekiranya beliau diberi mandat rakyat.

“Kita ada lebih 120 calon Bebas, kalau 10 menang, kita akan bersuara di Parlimen, bila kita bersuara di Parlimen, media pun akan bersuara di Parlimen.

“Media akan berani untuk bersuara di luar. Bila media berani, institusi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan badan kehakiman akan berani.

“Sekarang mereka takut, tangan mereka sudah diikat, kita perlu orang berani bawa ke depan, sanggup gadai nyawa, sanggup gadai harta, itulah orang macam saya,” katanya.

Katanya, apabila calon Bebas menang pilihan raya, proses pembersihan negara daripada wakil rakyat yang korup boleh dilaksanakan.

“Kita nak pastikan ada wakil rakyat Bebas yang cukup, kita akan pastikan media, SPRM dan PDRM menjadi bebas.

“Proses bersihkan Malaysia akan bermula hari saya masuk ke Parlimen, saya akan bawa semua calon Bebas yang menang, kita akan buat satu pasukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette