KUALA LUMPUR – Dua ahli akademik yang disenaraikan dalam deklarasi Profesor Melayu G70 mendakwa tidak pernah menyatakan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Bekas Timbalan Ketua Kluster Ekonomi Majlis Profesor Negara (MPN), Ishak Yussof berkata, beliau difahamkan kumpulan ini hanya membuat deklarasi dukungan terhadap PRU15 yang telus dalam memilih pemimpin terbaik untuk Malaysia.

”Ini saya setuju! Tidak pula saya dimaklumkan tentang menyatakan sokongan kepada mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dengan ini saya menarik diri dari Kumpulan G70 ini,” katanya.

May be an image of text

Tegas Ishak, sebagai mantan ahli akademik tulen, beliau mengambil pendirian non partisan di dalam politik dan tidak pernah menyatakan sokongan terbuka terhadap mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri atau sokongan pada mana-mana parti.

Malah, beliau senada dengan MPN menghormati hak individu bercakap dan bersuara.

“Pun begitu, bukanlah hasrat saya untuk menggunakan kedudukan sebagai ahli akademik cuba mempengaruhi mana-mana pihak untuk memilih pemimpin atau parti di dalam piliharaya negara yang tercinta ini. Memilihlah secara bijaksana.

”Saya telah pun bersara dua tahun lepas dan tidak lagi wajar menggunakan gelaran profesor,” katanya lagi.

May be an image of text

Manakala Timbalan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi menegaskan beliau menyokong prinsip kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan umum.

Jelasnya, sewaktu sidang deklarasi itu dilaksanakan beliau tidak berada bersama dan tidak sama sekali terlibat.

Artikel berkaitan: MPN tidak terlibat dengan gerakan Profesor Melayu G70

Sokongan 70 profesor terhadap Anwar tidak wakili 21 juta pengundi

Sokongan G70 terhadap Anwar tak wakili MPN – Ismail Sabri

PRU15: G70 tiada kaitan dengan KPT

Ahmad Mujahid menambah, beliau juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan menyokong dan memihak kepada mana-mana pemimpin atau parti politik.

“Tidak tahu menahu bahawa nama saya telah dimasukkan dalam senarai deklarasi Profesor Melayu G70.

“Saya juga telah meminta nama saya dikeluarkan daripada senarai tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette