Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar (kiri) dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada sidang media di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Calon Menteri Besar Pahang akan ditentukan mengikut jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu hanya dapat ditentukan selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

“Kita akan umum siapa MB bila sampai masanya. Tidak boleh mendahulu Majlis Tertinggi PN. Logiknya bukan saya, logiknya parti yang menang di kerusi Parlimen dan DUN bagi membentuk kerajaan, ini kita tunggu keputusannya.

“Dan kami ada lebih dari seorang calon kalau nak difikirkan,” katanya ketika di temui media di Pejabat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

Demikian reaksi beliau ketika ditanya sama ada Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang disebut-sebut menjadi Menteri Besar Pahang sekiranya PN merampas negeri ini.

Selain bertanding Parlimen Kubang Kerian di Kelantan, Tuan Ibrahim juga bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka di Lipis pada PRU15.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar pula menyifatkan tiada sebarang isu berbangkit tentang Tuan Ibrahim sukar berkhidmat sekiranga memenangi dua kerusi yang dipertandingkan walaupun jarak kedua-dua kawasan itu terletak kira-kira 400 kilometer.

Ini kerana, katanya, jentera parti sentiasa bersedia menggalas tanggungjawab menjaga kawasan dan pengundi semasa ketiadaan ahli dewan undangan negeri.

Beliau turut optimis bagi menawan tiga DUN yang tewas dengan tipis di bawah 1,000 undi seperti di DUN Pualu Tawar, DUN Beserah dan termasuk DUN Cheka pada PRU15 ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PN Pahang yakin bentuk kerajaan negeri baharu