Muhammad Jailani Khamis

MELAKA – Penafian Disneyland bahawa taman tema terkenal itu akan dibuka di Jasin, Melaka pada 2027 seperti yang didakwa Exco di negeri ini Selasa lalu menjadikan Melaka sebagai bahan ketawa dunia.

Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis patut dipecat kerana mengeluarkan kenyataan itu.

“Berdasarkan kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Disney, mereka tidak merancang untuk membina taman tema di Melaka.

“Maka drama yang diketuai Muhammad Jailani ini telah menyebabkan Melaka menjadi bahan ketawa kepada seluruh dunia dan ini amat memalukan.

“Perbuatannya amat tidak berintegriti dan bermaruah. Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali perlu memecatnya serta- merta demi menjaga imej kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal kerajaan negeri melaporkan, Melaka akan membangunkan sebuah taman tema Disneyland dan Disney City berkeluasan kira-kira 80.9 hektar, yang terbesar di Asia Tenggara.

Projek yang dibangunkan dengan kos pembinaan keseluruhan termasuk dilengkapi laluan keretapi maglev (pengapungan magnetik) tanpa geseran dengan kos pembinaan dianggarkan berjumlah kira-kira RM2 bilion.

Bagaimanapun hari ini Disney secara rasmi mengesahkan syarikat itu tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membina taman tema tersebut.

Ia selepas wartawan CNN, Heather Chen menghubungi pihak Disney dan memaklumkan bahawa tiada perancangan rasmi pembinaan taman tema Disney di Melaka.

Sementara itu, Exco Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan, beliau belum melihat laporan mengenai dakwaan itu,

“Saya tidak terima laporan lagi mengenai perkara itu, kalau ada nanti saya akan ulas,” katanya enggan mengulas lanjut. – MalaysiaGazette.