KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tersingkir di pusingan kedua Terbuka Australia di Sydney, Australia hari ini sekaligus mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF.
Pemain nombor dua dunia itu terpaksa akur apabila tewas di tangan Lu Guang Zu dari China 22-20, 15-21, 16-21 yang menyaksikan gagal melangkah ke peringkat ke suku akhir.
Kekalahan itu menyaksikan pintu buat Zii Jia beraksi di Jelajah Dunia Akhir yang dijadual berlangsung di Thailand dari 7 hingga 11 Disember kini sudah tertutup.
Hanya lapan pemain terbaik dalam ranking Jelajah Dunia layak beraksi pada kejohanan akhir musim itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.83 juta).
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka Australia selepas menewaskan lawannya dari Korea Selatan, Heo Kwang Hee 21-16, 19-21, 21-5.
Keputusan positif di Sydney penting buat pemain berusia 22 tahun itu untuk mencapai sasaran berada dalam kelompok 32 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini dan seterusnya dapat beraksi pada kejohanan bertaraf Super 1000 tahun depan.
Pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei turut mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan wakil India, Anwesha Gowda 7-21, 13-21. – MalaysiaGazettI