Calon Barisan Nasional P.096 Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz

KUALA SELANGOR – Orang ramai diingatkan tidak mudah terpedaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan pemimpin pembangkang terhadap kerajaan, lebih-lebih lagi ketika kempen pilihan raya kali ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pendedahan yang dilakukan pemimpin Pakatan Harapan (PH) hanya lebih kepada untuk meraih sokongan pengundi semata-mata.

“Jangan mudah percaya terutamanya musim pilihan raya ini banyak fitnah tohmahan dan agenda yang saya rasa tak betul kerana nak mendapat undi.

“Jangan terpedaya, periksa dahulu dengan sumber-sumber yang lain, kalau betul, buatlah proses yang betul, pergilah berjumpa dengan pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tak payah buat pendedahan demi pendedahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Puncak Alam, di sini, malam tadi.

Terdahulu beliau turun padang menyantuni rakyat di Restoran Mamu FZ Puncak Alam.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor menggesa semua pemimpin politik agar menghidangkan tawaran kepada rakyat dalam PRU15 kali ini.

“Saya rasa lebih baik kalau pemimpin-pemimpin kita buat pengumuman apa dia nak buat untuk rakyat dan pembangunan, itu yang rakyat nak dengar.

“Saya rasa dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, ramai kawan yang letih politik, letih dengan ahli politik kerana terlalu banyak berpolitik.

“Kalau ada isu macam Tabung Haji, isunya patut dibangkitkan dan cari cara penyelesaian, bukan nak cari isu-isu yang diperbesarkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast