propaganda
Mohamad Hasan melambai tangan kepada penyokong BN pada program Oghang Pilah Besamo Tok Mat di Melang, Kuala Pilah, hari ini.

KUALA PILAH – Rakyat dinasihatkan tidak terperdaya dengan propaganda yang disebarkan parti-parti lawan untuk memburukkan Barisan Nasional (BN) pada hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihak lawan menggunakan strategi tersebut bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan mereka semasa menjadi kerajaan dahulu.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berharap para pengundi membuat keputusan yang betul agar tidak mengulangi kesilapan pada PRU-14 dengan mempercayai janji-janji manis Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang tak dapat nak janji lagilah. Sekarang membuat strategi memburuk-burukkan BN, menakut-nakutkan orang, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan jadi Perdana Menteri.

“Sedangkan saya sudah berulang kali katakan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri.

“Jangan termakan dengan strategi perang psikologi dia supaya orang tak undi BN,” katanya kepada pemberita selepas program Oghang Pilah Besamo Tok Mat di Melang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Parlimen Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim, calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Datuk Abdul Samad Ibrahim dan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek.

Kuala Pilah
Adnan Abu Hassan berucap pada program Oghang Pilah Besamo Tok Mat di Melang, Kuala Pilah, hari ini.

Pada majlis yang sama, Adnan turut mengumumkan lima tekadnya untuk kawasan Parlimen Kuala Pilah yang merangkumi aspek warisan, kesihatan, kelestarian, keamanan dan inklusiviti serta pembangunan digital.

Sementara itu, Mohamad yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau memberitahu, BN menawarkan pemimpin-pemimpin yang berkaliber, mantap dan berpengalaman untuk menganggotai Kabinet selepas PRU-15.

Sebagai contoh, kata Timbalan Presiden UMNO itu, terdapat ramai bekas menteri besar dalam kalangan pemimpin BN seperti beliau sendiri serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selaku pakar kewangan.

“Pasukan itu penting, kalau Perdana Menteri bagus pun tetapi dia tidak disokong oleh pasukan yang mantap, tidak ke mana juga,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast