Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Terdapat kemungkinan wujud rancangan dan perbincangan untuk menarik Disney ke Melaka namun mungkin ia masih di peringkat awal dan belum mendapat persetujuan semua pihak.

Pentadbir Facebook Najib Razak berkata, Malaysia patut menyokong sebarang usaha untuk membawa tama tema ternama dunia itu ke negara ini.

Katanya, usaha sedemikian akan memberi manfaat yang amat besar kepada sektor pelancongan Melaka dan Malaysia.

Tambahan pula jika ia dipadankan dengan usaha untuk membina keretapi laju (HSR) Kuala Lumpur- Singapura yang akan melalui Melaka.

“Ini bukan kali pertama taman tema berstatus global pernah cuba ditarik ke Malaysia.

“Syarikat Genting sedang saman syarikat Disney untuk pampasan sebanyak AS$1 bilion kerana Disney tiba-tiba membatalkan persetujuan bagi taman tema Fox World yang beroperasi di Genting Highlands biarpun pembinaan sudah bermula,” katanya dalam satu hantaran hari ini.

Hantaran itu adalah untuk mengulas ciapan wartawan CNN Digital, Heather Chen yang mengatakan beliau telah mendapat pengesahan daripada Disney bahawa syarikat itu tidak merancang untuk membina Disneyland di Melaka seperti yang diumumkan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Bagaimanapun, Heather dalam ciapan terbaharunya telah memadamkan hantaran berkenaan dengan memberi alasan telah diarahkan Disney untuk berbuat demikian.

Ciapan di Twitter Heather Chen berhubung berita pembukaan Disneyland di Melaka

“Syarikat Disney telah mengarahkan wartawan CNN Digital’s Heather Chen untuk padamkan tweet dia yang mengatakan bahawa berita Disney akan bertapak di Melaka adalah berita palsu.

“Biasanya, ini bermaksud memang wujud rancangan dan perbincangan untuk menarik Disney ke Melaka namun ianya mungkin masih pada peringkat awal dan belum mendapat persetujuan semua pihak,” katanya.

Semalam, sebuah portal kerajaan negeri melaporkan, Melaka akan membangunkan sebuah taman tema Disneyland dan Disney City berkeluasan kira-kira 80.9 hektar, yang terbesar di Asia Tenggara.

Projek yang dibangunkan dengan kos pembinaan keseluruhan termasuk dilengkapi laluan keretapi maglev (pengapungan magnetik) tanpa geseran dengan kos pembinaan dianggarkan berjumlah kira-kira RM2 bilion.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Disney nafi bina Disneyland di Melaka, Jailani ditertawakan dunia