Nurul Izzah bercakap pada sidang media di Yayasan Aman, Penanti hari ini.

SEBERANG PERAI – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan segera sama ada meneruskan atau menunda Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia berikutan terdapat kawasan dan pusat pengundian yang terjejas akibat banjir susulan peralihan Monsur Timur Laut yang melanda negara ketika ini.

Walaupun hanya tinggal dua hari sebelum PRU15 diadakan, Nurul Izzah berkata, terdapat peruntukan dalam peraturan pilihan raya untuk menunda pilihan raya sekiranya berlaku hal sedemikian.

Bagaimanapun, calon Pakatan Harapan Permatang Pauh itu mengingatkan SPR untuk membuat keputusan tanpa dipengaruhi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya rasa penting juga memahami dalam urusan dan peraturan pilihan raya sendiri ada peruntukan yang diberikan dalam menunda (pilihan raya), bukan membuat pilihan raya semula ya, kita kena jelas bab ini.

“Ini kerana yang minta sangat, desak sangat mengundi semasa banjir ini ialah UMNO dan kerajaan BN dan PN.

“Jadi kita akan teruskan pilihan raya, hormati proses tetapi kalau perlu tunda di kawasan- kawasan mengalami banjir contohnya di Klang dan sebagainya, SPR perlu umum dan lakukan  sekarang,”katanya pada sidang media di Yayasan Aman di Penanti, hari ini.

Tambah beliau, keputusan segera mengenai isu berkenaan akan memudahkan calon dan pengundi yang terlibat.

Sementara itu, mengulas mengenai proses pengundian bagi Kerusi Parlimen Padang Serai yang berkemungkinan akan ditangguhkan ke tarikh lain berikutan kematian calon PH pada Rabu, Nurul Izzah berkata, SPR perlu beri keputusan segera berkaitan hal itu dan bukannya sehari sebelum hari pengundian.

Katanya, mengikut  Peraturan 11 (6) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) jelas mengatakan pilihan raya semula perlu diadakan.

“Kami telah menghantar notis kepada SPR dan perkara sedemikin perlu diambil perhatian.

“SPR perlu berada terkehadapan dengan sebarang perkara yang mungkin berlaku atau permasalahan mungkin akan yang terjadi jadi mereka sepatutnya bersedia dengan isu menunda pilihan raya atau memanjang tempoh keluar mengundi sekiranya perlu,”katanya. – MalaysiaGazette