KUALA LUMPUR – Kerajaan baharu tetap akan ditubuhkan dalam tempoh 48 jam meskipun jika tiada parti politik dapat meraih majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ini kerana dalam Perlembagaan tidak termaktub parti politik yang memenangi kerusi terbanyak akan secara automatik menjadi kerajaan memandangkan parti yang memenangi kerusi kedua terbanyak boleh membentuk kerajaan jika mampu berpakat dengan gabungan lain.
Dalam erti kata lain, situasi ini berlaku jika sesebuah gabungan secara bersendirian mungkin tidak mampu memenangi kerusi terbanyak.
Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan meramalkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bakal bersaing sengit.
“Saya menjangkakan persaingan kedua-dua gabungan ini sengit, jurang perbezaan keputusan tidak besar.
“Perikatan Nasional (PN) dijangka berada pada kedudukan ketiga dengan jurang besar dengan parti yang mendapat tempat pertama dan kedua undi terbanyak,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata, jika situasi ini berlaku, BN akan bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Keyakinan ini berdasarkan kesediaan GPS untuk tetap bersama dengan Ahli Parlimen BN sewaktu menjadi pembangkang selepas PRU14 dan kemudian menyertai kerajaan yang dibentuk BN pada 2020.
“Jadi, pada pandangan saya tidak wujud konflik jika keputusan PRU15 menyaksikan keadaan seperti itu. Di Malaysia, parti-parti politik adalah fleksibel ,” terang beliau.
Ditanya ramalan keputusan PRU15, Azmi berkata, PH mempunyai peluang cerah memenangi 55 kerusi di kawasan majoriti Cina.
Manakala BN akan terus menguasai kawasan majoriti Melayu, PN pula diramalkan masih sukar mendapat kerusi yang banyak.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, trend sokongan pengundi kepada mana-mana parti boleh berubah pada saat-saat akhir.
“Sebab itu, kita lihat parti-parti politik dan calon-calon, menyatakan keyakinan masing-masing akan menang pada PRU ini bagi mempengaruhi pengundi dan penyokong,” ujarnya.
Beliau juga tidak menafikan ada parti-parti yang tersilap percaturan dalam kempen akhir seperti ugutan Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) baru-baru ini.
Kenyataan kontroversi itu boleh menggugat sokongan pengundi atas pagar, sekali gus mengesahkan bahawa PH menyalahgunakan undang-undang semasa mentadbir negara selepas PRU14. – MalaysiaGazette