Gambar hiasan

Artikel ini ditulis pembaca Malaysia Gazette

BAHANG PRU-15 semakin hampir. Pelbagai ragam dan perilaku pihak-pihak yang terlibat secara langsung dapat dilihat. Dari peperangan poster, bendera dan banner hinggalah ke kempen-kempen yang telah dijalankan oleh pihak terlibat. Semuanya adalah demi mendapatkan sokongan pengikut dan golongan atas pagar. Ironinya, terdapat sekelompok manusia yang dilabel sebagai “golongan putih”. Mereka mengambil tindakan berkecuali, tidak mengundi dan memulaukan proses pemilihan yang diselenggarakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Setiap kali pilihan raya umum dijalankan, kelompok ini tidak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun layak berbuat demikian.

Jelasnya, kelompok ini bertindak dengan tidak membuat pemilihan dan tidak menggunakan hak suara untuk memilih pemimpin yang merupakan hak bagi
warganegara yang layak sekaligus menjadi kewajipan yang perlu disempurnakan. Mereka tidak ke pusat pembuangan undi bagi menunaikan amanah memilih calon pemimpin. Selain itu, terdapat juga mereka yang hadir membuang undi di Pusat Pembuangan Undi, namun mereka membuat pilihannya tidak sah dengan merosak atau menanda di luar garis panduan yang ditetapkan oleh pihak SPR. Dengan itu, kelompok ini termasuk dalam kalangan mereka yang tidak hadir mengundi, atau mereka yang hadir mengundi tetapi kertas undinya rosak dan tidak dikira.

Walau bagaimanapun, kelompok ini tidak termasuk golongan yang mempunyai halangan dan keuzuran, situasi luar kawalan, tidak mampu pulang ke tempat pembuangan undi, masalah teknikal, sakit, cuaca yang ekstrem atau mereka yang terperangkap di suatu tempat yang tidak membolehkannya membuat pengundian. Secara umumnya, terdapat beberapa faktor yang mendorong perilaku yang tidak terlibat dalam pilihan raya ini.

Di antaranya; pertama, terlalu ideal dalam menetapkan kriteria pemimpin pilihan. Bagi mereka tiada calon yang sesuai dan boleh dipilih untuk membawa suara pemilih. Jadi mereka memilih untuk tidak mengundi ataupun undi rosak. Kedua, terlalu kecewa dengan prestasi calon yang dipilih dalam pilihan raya lepas. Mereka melalui pengalaman buruk dengan pemimpin yang dipilih. Bagi mereka sama sahaja sama ada mengundi atau tidak mengundi kerana pemimpin yang dipilih tidak cakna dengan pengundi di kawasan tersebut, malah ahli politik dituding sebagai korup dan tiada integriti.

Ia merupakan satu bentuk protes terhadap kekecewaan yang mereka alami. Ketiga, terdapat golongan yang tidak berminat dengan politik. Mereka mengambil sikap acuh dan tidak acuh berkaitan pilihan raya dan pengundian. Bagi mereka, mereka tetap terpaksa kerja keras untuk meneruskan hidup tanpa bergantung kepada bantuan pemimpin dan mereka memilih untuk tidak keluar mengundi. Keempat, adalah golongan yang menolak sistem demokrasi dan pilihan raya. Mereka mendakwa mengundi adalah tindakan tidak Syar’ie dan pemilihan pemimpin mesti berdasarkan sistem khilafah. Jadi kelompok ini memulau pilihan raya yang diadakan.

Sedangkan jika ditelusuri dalam khazanah Islam, terdapat hadis Nabi yang menganjurkan pemilihan ketua ketika ingin bermusafir. Nabi Muhammad SAW bersabda:Jika ada tiga orang bermusafir, maka hendaklah salah seorang dari mereka dilantik menjadi ketua (HR Abu Daud). Hadis tersebut jelas menunjukkan kepentingan untuk memilih dan melantik seorang ketua. Lebih-lebih lagi dalam urusan pilihan raya untuk melantik pemimpin negeri dan negara, ia adalah lebih utama bagi menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara. Di samping itu, Nabi SAW juga mengingatkan umat dengan sabda Baginda: Jika amanah telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi. Ada seorang sahabat bertanya: Bagaimana maksud amanah disia-siakan? Nabi menjawab: Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu (HR Al-Bukhari).

Selain itu, terdapat kaedah fiqah yang dapat diaplikasikan dalam peri pentingnya melakukan pengundian dan pemilihan pemimpin. Kaedah fiqah menyatakan: Perkara wajib yang tidak sempurna kecuali dengannya, maka perantara itu menjadi wajib. Kaedah lain menyebut: Perintah terhadap sesuatu perbuatan bererti perintah juga bagi perkara-perkara yang menjadi perantara terlaksananya perbuatan tersebut. Berdasarkan kedua-dua kaedah di atas, perbuatan mengundi dan memilih pemimpin menjadi wajib kerana ia adalah satu proses kepada pembentukan sebuah kerajaan yang bertanggunjawab menjaga kebajikan rakyat dan melindungi mereka. Sebuah kerajaan yang memimpin negara tidak mungkin berdiri sendiri tanpa ada pimpinannya. Dengan itu menjadi kewajipan rakyat atau pengundi untuk membuat pilihan bijak untuk mengangkat seorang pemimpin yang layak dan baik untuk menguruskan negara.

Tegasnya, melakukan pengundian untuk memilih pemimpin negeri dan negara merupakan tanggungjawab bagi setiap warganegara yang berkelayakan. Masa hadapan negara bergantung di tangan pengundi. Satu undi menjadi penentu masa depan negara, khususnya dalam tempoh lima tahun akan datang. Justeru, jangan sertai golongan putih atau kelompok yang memboikot pilihan raya. Ini kerana inilah peluang keemasan kepada kita untuk memilih pemimpin yang dapat menjaga kemaslahatan agama, bangsa dan negara.

Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli,
Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya