LEDANG – Penduduk di tiga buah kampung di kawasan Parlimen di sini melahirkan rasa kecewa berikutan masalah banjir yang dihadapi mereka sejak 10 tahun lalu masih belum diselesaikan sehingga kini.
Malah, penduduk kampung terbabit terpaksa mengharungi banjir kali ketiga pada tahun ini apabila kediaman mereka ditenggelami air hingga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Rata-rata mangsa yang yang ditemui MalaysiaGazette di PPS Sekolah Kebangsaan Simpang Lima Darat, di sini, memberitahu, mereka sudah tidak tahan menanggung keadaan seperti itu dan mahu pihak berkenaan mengambil penyelesaian segera.
Suri rumah, Faridah Youplee, 58, berkata, dia buntu dengan keadaan yang dialami dan mahu tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah itu.
Katanya, tindakan perlu diambil kerana masalah tersebut bukannya baharu, sebaliknya telah berlaku sejak sekian lama.
“Saya tak tahu nak cakap apa lagi sebab ini bukan baru terjadi dan ramai yang terjejas bila musibah ini melanda.
“Perkara ini boleh diselesaikan kalau betul-betul pihak yang bertanggungjawab ambil serius dan nak buat kerja,” katanya.
Norhayati Abdul Rahman, 57, pula berkata, dia telah menanggung kerugian ribuan ringgit akibat banjir susulan tidak sempat mengalihkan barang-barang di dalam rumah apabila musibah itu melanda.
Katanya, setiap kali hujan lebat air akan naik secara mendadak dan limpahannya masuk hingga merosakkan barang-barang di dalam rumah.
Jelasanya, dia sudah tidak tertanggung lagi untuk berdepan dengan keadaan semacam itu dan hanya mengharapkan ada tindakan diambil bagi mengatasi masalah yang berlaku sejak bertahun-tahun.
“Saya sedih sebab banyak dah harta benda yang rosak terutama perabot dan barangan elektrik.
“Saya minta supaya perkara ini diambil berat oleh semua pihak kerana masalah yang berlaku dah boleh jadi mimpi ngeri kepada kami penduduk di kampung ini,” katanya yang merupakan penjual sate di Kampung Simpang Lima.
Rungutan sama turut diluahkan Zaitun Ahmad apabila memberitahu, banjir yang melanda turut mendatangkan bahaya apabila haiwan berbisa seperti ular sering muncul.
Katanya, sudah banyak kali apabila berlaku banjir ular keluar dari sarangnya dan masuk ke dalam rumah menerusi lubang.
“Pernah satu ketika air masuk ke dalam rumah dan tiba-tiba ular besar muncul. Keadaan itu memang menakutkan dan saya mohon sangat kepada wakil rakyat untuk bertindak segera,” ujarnya yang merupakan penduduk di Kampung Parit Pulai Darat.
Sementara itu, Mimi Mariana Zainuddin, 25, berkata, dia tetap akan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada hari esok meskipun merupakan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat tersebut.
Katanya, meskipun tidak bersetuju pilihan raya diadakan dalam musim banjir, namun sebagai rakyat tanggungjawab sebabai pemilih wajib dilaksana.
Ujarnya, dia berharap agar calon yang bakal mendapat undi yang diterjemahkan di atas kertas undinya esok dapat membantu penduduk sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
“Saya harap calon Ahli Parlimen yang mungkin akan menang dengan undi saya dapat selesaikan masalah di kampung-kampung ini dahulu kerana pemilihan yang dibuat oleh kami adalah untuk membela nasib kami terlebih dahulu dan kemudian kepada keseluruhan rakyat,” tambahnya.
Untuk rekod, Parlimen Ledang disandang oleh Syed Ibrahim Syed Noh dari parti Pakatan Harapan (PH).
Syed Ibrahim dicalonkan semula oleh PH untuk bertanding di kawasan sama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette