PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan berhubung tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli susulan kenyataan kontroversinya terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun menyelar kenyataan Rafizi yang disifatkan melulu dan tidak sepatutnya dilakukan.

“Setakat semalam (Khamis), tiada lagi laporan polis  yang dimaklumkan kepada saya. Kecuali dah ada tapi tak dimaklumkan kepada saya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai-Pegawai Kadet Imigresen Gred KP41 dan KP29 Siri 1 Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan dan memeriksa perbarisan seramai 193 pegawai tamat latihan.

Rabu lalu, Rafizi  menerusi Ceramah Mega di Johor Bahru berkata, PH akan mencari Azam sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hamzah berkata, pemimpin parti tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menakutkan-nakutkan penjawat awam.

“Parti Rafizi ini (PH), kerja lain tiada hanya nak menakutkan pegawai tertinggi dalam negara kita. Mereka (SPRM) hanya melakukan kerja mereka, dan setakat ini mereka melakukan tugas yang baik, apa yang nak menakut-nakutkan mereka ini?

“Negara kita ini ada undang-undang, sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang dalam negara sama ada pegawai tertinggi, pegawai rendah, rakyat biasa atau pemimpin mana-mana parti kalau lakukan kesalahan, melanggar undang-undang kita akan ambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Tambah Hamzah lagi, semua agensi penguatkuasaan dalam negara melakukan sebaik mungkin dalam melaksanakan undang-undang dalam negara.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan anggota keselamatan menjelang hari mengundi pada 19 November esok, beliau berkata, tidak timbul isu bencana luar jangkaan kerana simulasi sudah dilakukan.

Bagaimanapun, pihaknya berharap tiada sebarang insiden luar jangka itu akan berlaku.

“Kita dah mengenalpasti beberapa lokasi hotspot yang berkemungkinan banjir.

“Kita juga dah melakukan simulasi dengan agensi dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dikepalai PDRM dan dibantu RELA serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan jika berlaku perkara ini, mereka bersedia membantu,” katanya. -MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. Kalau org awam mengertak penjawat awam baik secara lisan mahupun fizikal akan dikenakan hukuman berat/penjara. Harap hukuman yg sama juga patut dikenakan kepada mana2 ahli politik yg berbuat demikian. Barulah adil.

Comments are closed.