Nik Sharif Haseefy. Foto Facebook Terengganu FC.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Terengganu FC, Nik Sharif Haseefy menganggap pasukan telah beraksi sebaiknya mengikut perancangan tetapi aksi Selangor tampak lebih menjadi untuk menghasilkan tiga gol di tempat sendiri.

Namun, dia percaya Terengganu akan bangkit untuk terus memberi tentangan bagi memburu gol di laman sendiri minggu depan.

Pada aksi pertama Piala Malaysia kelmarin, Selangor berjaya menghukum anak buah Nafuzi Zain dengan keputusan 3-1.

“Saya boleh katakan Selangor turun dengan lebih bersemangat dan aksi mereka juga lebih menjadi untuk menjaringkan gol.

“Bukannya kita tidak beraksi bagus, cuma Selangor lebih menjadi untuk memberi kelebihan kepada mereka.

“Tetapi untuk kami sendiri, Terengganu tidak akan berputus asa dan positif akan bangkit selepas ini sebab kita masih ada 90 minit di laman sendiri”, jelasnya.

Aksi kedua separuh akhir TM Piala Malaysia akan berlangung pada 20 November ini membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC manakala Terengganu menentang Selangor pada 21 November ini. – MalaysiaGazette