Jazlan bersama isteri  Rossana keluar mengundi di saluran 3, Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Dato Omar Yusuf, Kampung Pasir pagi ini.

JOHOR BAHRU –  Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohammed mengundi di saluran 3, Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Dato Omar Yusuf, Kampung Pasir di sini.

Turut mengundi adalah isterinya Datin Rossana jaafar dan ibu Puan Seri salbiah Abd Hamid, 84.

Nur Jazlan juga memuji kecekapan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan proses pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Petugas SPR, mantap, walaupun dalam keadaan hujan, pengundi dapat duduk di kerusi. Itu pertama kali buat saya, ada kerusi menunggu disediakan di luar sebelum proses undian dijalankan, jadi saya rasa layanan cukup baik oleh SPR,” katanya.

Nur Jazlan yang memulakan hari dengan perasaan ceria menyifatkan itu petanda baik BN akan berjaya membentuk kerajaan pusat hari ini.

“Bangun pagi tadi, rasa ‘feel good’ kerana sepanjang berkempen semua berjalan lancar dan tiada apa-apa yang buruk berlaku, walaupun (kempen) sedikit muram tetapi saya percaya rakyat sudah buat keputusan.

“Saya rasa ‘feel good’ ini adalah indikator BN boleh menang, bukan sahaja di sini tetapi juga di seluruh negara kerana rakyat sedar mereka akan pilih kerajaan, bukan sekadar parti yang mereka suka,” katanya.

Sementara itu, Calon PH parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan akan membuang undi di SK Serkat di Tanjung Piai dekat Pontian.

Nur Jazlan berdepan saingan tiga penjuru termasuklah melibatkan penyandang Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub daripada PH dan juga pendatang baharu, Loh Kah Yong daripada PN.

Pada PRU14 lalu, Salahuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Pulai menewaskan Nur Jazlan dengan majoriti 28,924 undi. –MalaysiaGazette