Dari kiri: Salini Devi Krishnan, Ganesh Kumar Krishnan, Divya Karasi Krishnan dan Sundara Darshini Krishnan menunjukkan jari berdakwat selepas mengundi di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa. Jalan Ipoh. Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – “Tangan saya masih menggigil walaupun sudah memangkah kertas undi” kata Divya Karasi Krishnan yang pertama kali mengundi selepas selesai menunaikan tanggungjawab pagi ini.

Bukan sahaja beliau berasa gementar ketika berbaris menunggu giliran mengundi, malah perasaan sama turut dirasai dua lagi adiknya, Ganesh Kumar dan Sundara Darshini Krishnan yang juga pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut remaja berusia 21 tahun itu, beliau terkejut melihat kertas undi yang panjang dengan 10 nama calon yang bertanding merebut kerusi Parlimen Batu nanum proses mengundi berjalan lancar berikutan bimbingan yang diberikan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sangat teruja nak undi tapi lepas sampai di PDM dan melihat orang beratur panjang, gementar sikit memikirkan bagaimana hendak mengundi tanpa melakukan kesilapan kerana tiada pengalaman.

“Boleh melihat sendiri tangan kami masih menggigil walaupun sudah memangkah beberapa minit yang lalu dan waktu beratur semak pendaftar undi sangat sistematik tidak susah untuk kami melaksanakan amalan demokrasi kami,” katanya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media dan Kebudayaan itu menyatakan demikian kepada MalaysiaGazette selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Jalan Ipoh, di sini, hari ini.

Sementara itu, adik lelaki Divya Karasi, Ganesh Kumar Krishnan, 20, berkata, dia tidak dapat tidur lena semalam kerana teruja untuk mengundi.

“Dua tiga kali saya bangun melihat jam di dinding kerana tak sabar nak pergi memangkah kali pertama bersama kakak,” ujarnya sambil menambah ketiga-tiga beradik itu dihantar oleh bapa mereka ke pusat pengundian.

Bagi memastikan beliau memilih wakil rakyat yang tepat, Ganesh berkata, mereka mengkaji pencapaian serta manifesto calon-calon yang bertanding.

“Selepas meneliti berita dan segala maklumat dalam talian dan juga surat khabar mengenai status dan kredibiliti calon-calon bertanding barulah kami membuat ketetapan siapa calon pilihan kami

“Mencelup dakwat dan memangkah atas kertas undi memang perasaan luar biasa dan tidak boleh diganti dengan kata-kata,” katanya sambil menambah calon yang dipilih tidak dihebahkan kepada sesiapa. – MalaysiaGazette