Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bercakap pada sidang media khas mengenai PRU 15 di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 19 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pas yakin Perikatan Nasional (PN) akan dapat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia adalah berdasarkan kepada keputusan undian awal ketika ini.

“Pas yakin PN akan dapat membentuk kerajaan dalam pilihan raya kali ini.

“Ia adalah berdasarkan kepada keputusan undian awal,” katanya pada sidang media khas Pas di sini, sebentar tadi.

Menurut Abdul Hadi, kemenangan yang dicapai dalam PRU15 ini adalah hasil kerjasama semua ahli Pas dan rakan-rakan dalam PN.

Katanya, Pas akan berusaha sedaya mungkin untuk melaksanakan tawaran yang telah dijanjikan dan meneruskan agenda wawasan induk negara sejahtera 2051 (WINS2051).

“Pas mengucapkan terima kasih kepada semua kerana meletakkan kepercayaan kepada kami dan PN terutamanya pengundi muda.

“Pengorbanan pengundi adalah sangat dihargai dalam memastikan PN terus mendapat mandat,” ujarnya.

Sementara itu ditanya sama ada Pas bersedia untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu, dan Kedah selepas kemenangan ini, Abdul Hadi memberitahu, perkara itu akan dibincangkan kemudian.

Katanya, ketika ini tidak sesuai diadakan Pilihanraya Negeri kerana faktor cuaca dan kemungkinan berlakunya banjir.

“PRN akan dibincangkan kemudian. Ketika ini tidak sesuai kerana faktor cuaca,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast