Mohamad Hasan berkata dikerumuni petugas media selepas mengundi di SJKC Chung Hua, Rantau, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru orang ramai agar keluar mengundi beramai-ramai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini.

Timbalan Pengerusi BN itu berharap rakyat dapat menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan yang baharu.

“Keluarlah mengundi, tunaikan tanggungjawab kita sebagai warganegara untuk memilih kerajaan yang akan dapat kita bergantung dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengundi di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO diiringi isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Rembau, Nazree Yunus mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pagi, Senawang manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Tinagaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tuanku Ja’afar, Senawang.

Dua lagi calon yang menyertai persaingan merebut kerusi Parlimen Rembau ialah Jufitri Joha dari Pakatan Harapan (PH) yang mengundi di SK Undang Rembau dan Ramly Awalludin dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – MalaysiaGazette