Khaidhirah Abu Zahar. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Setelah beberapa pemimpin UMNO mendesak agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya hari ini, seorang lagi ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut berbuat perkara sama.

Terbaharu, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira turut menyarankan agar Ahmad Zahid mengundur diri.

Langkah itu diambil supaya parti boleh melakukan perubahan yang mutlak pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Walaupun telah ramai memperkata dan memperingatkan agar parti perlu lebih berhati-hati dan berubah, tetapi tidak diendahkan.

“Akhirnya rakyat sendiri terpaksa menyingkirkan UMNO. Bukan sahaja pemimpin besar UMNO yang lain, bahkan turut mengorbankan sahabat-sahabat saya, pelapis muda, yang berpotensi dalam UMNO dan Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dira merupakan antara beberapa pemimpin UMNO yang mahu Ahmad Zahid melatak jawatan

Antara lain adalah Shahril Sufian Hamdan yang mendesak Ahmad Zahid berundur dan kemudian meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia, berkuatkuasa hari ini.

Kata Dira, biarpun rakyat menolak pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan, keputusan PRU15 tidak menjadikan barisan kepimpinan UMNO sebagai pilihan mereka kali ini.

Malah perubahan lanskap politik baharu Malaysia pasca PRU15, ujar beliau, memberi isyarat jelas daripada rakyat untuk UMNO agar lebih serius melakukan perubahan tampuk kepimpinan selari dengan denyut nadi rakyat.

“Bahkan dalam situasi genting hari ini, sebarang bentuk rundingan perlu dibawa ke meja perbincangan Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Namun, saya menzahirkan rasa kecewa kerana seolah-olah MKT sebagai pembuat keputusan tertinggi diketepikan dan mesyuarat MKT dibatalkan.

“Parti memerlukan perubahan mutlak mendengar suara hati rakyat. Bukan sahaja kehendak akar umbi UMNO semata, tetapi kehendak hati nurani rakyat sebagai pengundi majoriti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast