KUALA LUMPUR – Semua kepimpinan UMNO harus bertanggungjawab ke atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang menghadiri Mesyuarat Biro Politik UMNO berkata, ini kerana keputusan itu telah dibuat oleh rakyat sebagai pemilih pada PRU kali ini.
Ditanya samada terdapat cadangan Ahmad Zahid letak jawatan, beliau berkata: “Tidak sampai ke tahap itu dan kita akan bincang tapi semua pemimpin UMNO kena bertanggungjawab kerana itu adalah keputusan politik dan rakyat.
“Kalau kena letak jawatan semua kena letak jawatan. Bukan Presiden sahaja termasuk saya,” katanya selepas selesai menghadiri mesyuarat itu di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Bung Mokhtar yang turut ditanya mengenai hala tuju BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata, perkara itu masih belum diputuskan oleh kepimpinan parti.
“Tidak (kerjasama) kita putuskan dengan mana-mana gabungan (kerjasama bentuk kerajaan).
“Belum putus lagi. Kita akan ada lagi perbincangan lepas ini,” ujarnya.
Sementara itu, Bung menyifatkan PRU15 adalah sejarah terburuk buat BN namun parti menerima keputusannya.
“Ini adalah sejarah yang paling teruk kepada BN. Tapi kita kena terima perkara itu. Itu okey sebab kita telah menawarkan kestabilan dan kemakmuran tapi rakyat tolak,” katanya. – MalaysiaGazette