KUALA LUMPUR – Keputusan rakyat di Kepala Batas yang telah pun menjalankan hak demokrasi dalam memilih wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam perlu dihormati.
Bekas Ahli Parlimennya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau menerima dengan berlapang dada keputusan itu yang tidak memihak kepada Barisan Nasional di Kepala Batas.
“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YB Dr Mastura atas kemenangan di Parlimen Kepala Batas.
“Saya yakin YB Dr Mastura dapat menggalas tanggungjawab sebagai seorang Ahli Parlimen dengan baik serta dapat meneruskan agenda-agenda rakyat yang telah diusahakan sepanjang saya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen.” tulisnya di Facebook miliknya.
Reezal Merical yang juga bekas Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan turut berterima kasih kepada para pengundi atas sokongan dan peluang kepadanya untuk berkhidmat mewakili Kepala Batas dalam dua penggal sebelum ini.
“Insya Allah, khidmat saya dan pasukan untuk Kepala Batas tidak akan terhenti hanya dengan keputusan PRU15 ini.
“Saya juga akan terus mengkhidmati Kepala Batas dalam kapasiti saya yang baharu kerana inilah jiwa saya Demi Kepala Batas. Terima kasih Kepala Batas!” tulisnya.
Parlimen Kepala Batas antara yang menyaksikan kejutan terbesar dalam keputusan PRU15 semalam yang mana kerusi yang dianggap selamat oleh BN itu berjaya dirampas calon Perikatan Nasional (PN) daripada Pas, Siti Mastura.
Kekalahan Reezal Merican itu juga sekali gus menyaksikan buat pertama kalinya BN kehilangan kerusi Parlimen Kepala Batas dalam tempoh 48 tahun iaitu sejak kawasan Parlimen itu diwujudkan bermula pada 1974. – MalaysiaGazette