Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy bercakap kepada media selepas perasmian Briged Wanita MIC Kebangsaan ketika di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pemimpin  MIC hari ini  mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO berikutan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy berkata, Ahmad Zahid perlu berundur berikutan keputusan yang mengecewakan menimpa komponen itu.

Kata Mohana, ketika ini jalan terbaik ialah usaha memulih dan memperbaiki komponen BN dan ianya perlu bermula sekarang.

“Anggaplah ini satu pengajaran buat kita semua. Peletakan jawatan ini juga untuk memberi laluan kepada pimpinan lain yang mampu membawa perubahan jika tidak mahu berdepan dengan penolakan lebih teruk pada masa hadapan.

“Saya mohon dengan penuh rasa hormat supaya Pengerusi BN untuk meletak jawatan. Inilah yang juga dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai presiden pada 2018,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam BN sekali lagi gagal memenangi hati rakyat apabila gagal memperoleh majoriti mudah apabila hanya memenangi 30 kerusi Parlimen seluruh negara.

Tegas Mohana lagi, Ahmad Zahid perlu mengambil tanggungjawab penuh kerana bertindak menukar 10 calon BN yang mempunyai kekuataan undi putih sehingga menyebabkan kekalahan begitu teruk semalam.

“Tindakan ini juga telah menyebabkan kita kalah dengan begitu teruk walhal calon-calon ini merupakan antara yang mampu memberikan kita kemenangan pada PRU15 ini.

“Rata-rata kekecewaan akar umbi dan umbi dengan tindakan presiden itu sehingga memboikot dan tidak bersemangat membawa kemenangan untuk BN.

“Tempias itu turut dirasai oleh calon-calon lain kerana jentera tidak dapat bekerja dengan semangat tinggi untuk membawa kemenangan buat BN. Suka atau tidak, ini adalah realiti dan kebenaran pahit,” tegasnya.

Veeran

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat, Veeran Muniandy berkata, ketika ini BN dan UMNO memerlukan penstrukturan baharu bagi mendepani cabaran dan menjadikan komponen ini menjadi pilihan rakyat seperti sebelum ini.

“Saya amat menghormati Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai seorang pemimpin utama BN tetapi kali ini jelas sama sekali penolakan rakyat sangat jelas dan pastinya seseorang perlu dipertanggungjawabkan.

“Kita amat memerlukan perubahan baharu Malaysia pasca PRU15 ini, kita perlu lakukan perubahan kali ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette