Rina Harun

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd Harun, berbangga atas segala usaha yang dicurahkannya kepada masyarakat di Sepang, walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen berkenaan semalam.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Bersatu menganggap kekalahannya itu sebagai adat bertanding.

“Adat masuk ke gelanggang, pasti ada kalah, pasti ada yang menang. Kecundang bukan maksudnya lemah, tewas bukannya tidak berbalas.

“Alhamdulillah…walaupun tidak diberikan mandat untuk memacu Sepang, saya berbangga atas segala usaha yang telah dicurahkan kepada kampung halaman saya selama ini,” kata bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu Rina turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi yang telah mengundinya dan reda dengan keputusan yang diterima.

“Setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh jentera yang mengerah keringat siang dan malam bagi menawan Sepang.

“Usaha kalian begitu besar buat saya dan tidak terbalas dengan kata-kata. Semoga Malaysia terus makmur, maju dan sejahtera,” ujarnya.

Rina tewas dalam saingan lapan penjuru di Parlimen Sepang dengan calon Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah yang memperoleh 56,264 undi dengan majoriti 8,949 undi pada PRU15 semalam.

Beliau mendapat 47,315 undi.

Turut tewas adalah calon Barisan Nasional (BN) Anuar Basiran (31,097 undi), manakala lima lagi calon lain hilang wang pertaruhan.

Calon-calon berkenaan adalah, calon Pejuang, Che Asmah Ibrahim (2,337 undi); calon Bebas, Syahrul Amri Mat Sari (319 undi); calon Parti Utama Rakyat, Daud Leong (264 undi); calon Bebas, M Muneswaran (194 undi); dan Parti Rakyat Malaysia (PKM), Nageswaran Ravi (165 undi). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.