Sebahagian Ahli UMNO mengadakam flashmob dengan berteriak 'Undur Zahid' di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tekanan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid meletakkan jawatan kian memuncak.

Di ibu pejabat UMNO hari ini, satu flashmob dengan laungan ‘Undur Zahid’ dianjurkan oleh sekumpulan wakil daripada Bahagian UMNO Bukit Bintang.

“Undur Zahid” (turun Zahid) dan “No DAP, No Anwar” dilaungkan kira-kira 10 ahli UMNO bahagian itu.

Flashmob yang diketuai Ketua UMNO Cawangan KLCC Datuk Seri Dzulkarnain Taib itu meminta Zahid bertanggung jawab terhadap kegagalan UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Tambah beliau, walaupun ahli parti masih sayangkan Zahid namun seseorang daripada Umno perlu membayar harga untuk apa yang telah berlaku.

“Dalam hal ini, Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab sepenuhnya selepas BN gagal buat kali kedua berturut-turut membentuk kerajaan. Kami kesal kerana kali ini jumlah kerusi yang dimenangi semakin berkurangan.

“Ahmad Zahid sepatutnya mengambil langkah terhormat untuk berundur sebelum Majlis Tertinggi Umno mendesak usul undi tidak percaya terhadapnya,” katanya di lobi Menara Dato’ Onn.

Dalam pada itu, Dzulkarnain percaya ramai lagi ahli UMNO akan turut meluahkan rasa sama dan berkongsi sentimen tersebut.

“Kami mungkin dipecat daripada parti kerana melakukan ini, tetapi kami tidak kisah. Kami mahu menyuarakan suara dan hati nurani UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette