KUALA LUMPUR – Disebalik keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang mengejutkan semalam, UMNO hari ini mengadakan mesyuarat Biro Politiknya.
Beberapa pemimpin UMNO dilihat telah tiba di perkarangan Menara Dato’ Onn bagi menghadapi mesyuarat tersebut.
Antaranya yang hadir adalah Naib-naib Presiden UMNO yang juga top five, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Juga hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Difahamkan agenda mesyuarat Biro Politik UMNO hari ini adalah membincangkan mengenai keputusan PRU15, lewat malam tadi.
UMNO akan mengadakan mesyuarat MKTnya pada jam 3 petang nanti dan juga mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) jam 8 malam ini. – MalaysiaGazette