Barisan Nasional BN wins Johor state election Perikatan Nasional Pakatan Harapan opposition A. Kadir Jasin
Setakat tengah hari ini belum ada keputusan rasmi pendirian BN.

KUALA LUMPUR – Gabungan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) di Pahang dan Perak hanya khabar angin.

Ini berdasarkan kepada kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tengah hari ini, bahawa keputusan rasmi kedudukan parti itu dalam mana-mana gabungan akan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.

Setakat ini, belum ada sebarang keputusan rasmi mengenai kedudukan BN sama ada akan bergabung dengan PH atau Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan itu sekali gus menolak desas desus bahawa BN dan PH telah sepakat untuk bekerjasama dan telah menubuhkan kerajaan negeri gabungan BN di Pahang dan PH di Perak.

Menurut sumber, kedua parti itu telah mencapai kata sepakat membentuk kerajaan negeri di Pahang dan Perak melalui persetujuan iaitu wakil BN menteri besar di Pahang, manakala wakil PH menteri besar di Perak.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, PH mendapat 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, PN (26) dan BN (sembilan).

Apabila PH dan BN bergabung, mereka membentuk majoriti dua pertiga di Perak dengan 33 kerusi dalam DUN yang mempunyai 59 kerusi itu.

Di Pahang pula, BN mendapat 16 kerusi, PH (lapan) dan PN (17), apabila bergabung PH dan BN mendapat 24 dari 41 kerusi DUN, tetapi gabungan itu sekadar membentuk majoriti mudah, bukan dua pertiga.

Di Perlis pula, PN akan membentuk kerajaan negeri selepas mendapat 14 kerusi dan PH hanya satu kerusi daripada 15 DUN yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette