Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Noraini Ahmad berpendapat parti itu boleh menjadi rakan mesra kepada mana-mana gabugan parti politik.

Pandangan itu kata Noraini amat diperlukan sekarang bagi menubuhkan kerajaan kerana tiada mana-mana parti yang dominan untuk membentuk kerajaan yang kukuh.

“Keputusan menjadi rakan mesra parti kerajaan juga perlu dibuat secara bersyarat di mana Barisan Nasional diberi kebebasan dalam berbahas / sokong/ tolak sebagai blok neutral (check and balance) bagi apa sahaja usul yang dibentang atau dicadang oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noraini berkata, sekiranya BN turut membentuk kerajaan, maka gabungan itu harus menyokong dan tidak meruntuhkan gabungan politik tersebut.

“Barisan Nasional juga diminta agar tidak meruntuhkan mana-mana gabungan politik kerajaan yang sudah terbentuk sehingga Parlimen dibubarkan, selagi mana gabungan politik tersebut masih menjunjung tinggi semangat perlembagaan dan kestabilan politik negara.

“Keputusan yang telah dibuat oleh rakyat perlu dihormati. Tumpuan utama perlu diberikan untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional semula pada masa akan datang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya akan mengemukakan akuan bersumpah (SD) daripada Ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri ke 10, kelak. – MalaysiaGazette