Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengesahkan sebanyak lapan kertas siasatan dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang berkaitan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sejak 2020 hingga terkini.

Katanya, kerajaan negeri juga telah dan akan mengambil tindakan terhadap semua laporan lengkap SPRM berhubung salah laku Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kakitangan kerajaan Negeri sekiranya kes tidak disabitkan kesalahan di peringkat mahkamah.

“Kerajaan negeri tidak terbuka dan menerima sebarang siasatan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa malah kita tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan laporan SPRM.

“Namun, kita juga meminta SPRM supaya telus dalam menyatakan bilangan kes yang didakwa di mahkamah dan jumlah penjawat awam yang didapati bersalah bagi memastikan imej kerajaan negeri dan penjawat awam di Pulau Pinang tidak tercalar hanya disebabkan jumlah aduan yang diterima sejak tahun 2019,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) yang ingin tahu mengenai jumlah kes SPRM yang disiasat di Pulau Pinang membabitkan Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan negeri.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, bagi siasatan ke atas kakitangan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) boleh mengambil tindakan di bawah Peraturan 44, Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pulau Pinang) 1997 bagi tujuan penahanan kerja sekiranya membabitkan prosiding jenayah.

Pada 29 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, amalan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam membimbangkan di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette