Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim Foto AMIRUL SHAUFIQ, - Gambar hiasan.

KUANTAN – Rakyat tidak perlu gelabah jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sekiranya termeterai gabungan antara Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) nanti.

Ini kerana Pengerusi PH itu juga pernah memiliki DNA UMNO suatu ketika dulu, kata penganalisa politik, Wan Emril Nizam Wan Embong.

Menurut Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) itu, selain PH, pemimpin Perikatan Nasional (PN) juga mempunya genetik UMNO.

Demi kestabilan politik, BN perlu melakukan langkah berani untuk membuat perubahan termasuk sedia bekerjasama dengan PH atau PN bagi membentuk kerajaan peringkat pusat dan negeri.

“Nama besar seperti Anwar Ibrahim,Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, semua pernah menjadi serumpun UMNO, sudah kenal semua tapi apa yang penting adalah untuk membentuk sebuah kerajaan.

“Jika Anwar menjadi Perdana Menteri, dengan kata lain ‘DNA’ nya juga UMNO bermakna apabila menjadi UMNO ia tidak lari dari kuasa Sultan, Melayu dan agama di negeri ini. Sama juga kalau dengan PN,” ujarnya dalam kenyataan.

Wan Emril Nizam Wan Embong.

Tambah Wan Emril, walaupun segelintir pihak mempertikai kredibiliti Presiden PKR itu namun dalam keadaan sekarang, siapa yang layak menjadi peneraju negara.

Justeru, tindakan BN Perak dan Pahang untuk bekerjasama dengan PH menubuhkan kerajaan negeri dilihat satu keputusan yang tepat demi kestabilan, katanya.

“Kini sudah sampai masanya BN Pahang membuat keputusan luar jangka walaupun ia bertentangan dengan pendirian parti sebelum ini selain penjenaman semula serta pembaharuan yang luar biasa bagi memulihkan kepimpinana parti termasuk akar umbi.

“Tidak mustahil langkah penggabungan bersama PH boleh diambil jika sebelum ini UMNO juga pernah mengikat ukhwah bersama Pas sebelum ini menerusi Muafakat Nasional namun akhirnya Pas berubah hati kepada PN,” katanya.

Menerusi gabungan PH dan BN, pimpinan juga boleh melantik Exco dalam kalangan PH membentuk kerajaan negeri seterusnya menerajui bersama-sama negara ini.

“Masa kian suntuk, BN tidak boleh membuang masa lagi tetapi mengambil langkah proaktif bentuk kerjasama dengan PH bagi membolehkan BN membentuk kerajaan negeri jika ingin mengekalkan jawatan Menteri Besar dalam kalangan BN,” katanya.

Namun begitu, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sewajarnya menyerahkan urusan pelantikan jawatan Menteri Besar berpandukan majoriti kerusi di DUN Pahang serta mendapat perkenan daripada Sultan Pahang.

Ia juga memerlukan semua pihak perlu berganding bahu menangani pergolakan politik di Pahang selain menyedari  sentimen semasa yang mendesak Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.

“Maka tiada salahnya jika mencuba kerana dengan keadaan genting kini, tindakan berani berubah itu perlu diambil segera sebelum kubu BN yang lain bernanah memandangkan banyak sudah musnah pada PRU15,” katanya.

Apa pun keputusan, katanya, ia perlu dibuat secara ijmak selain memastikan ia diambil demi kestabilan politik dan masa depan negara.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast