Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 NOVEMBER 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi – UMNO dianggap mengambil risiko menempah maut jika bekerjasama dengan DAP untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, parti tunjang orang Melayu itu bukan sahaja akan kehilangan banyak ahli malah akan turut kehilangan kepercayaan orang Melayu.

“Ini adalah satu tamparan hebat kepada UMNO dan satu tamparan hebat kepada satu parti yang khususnya memperjuangan isu berkenaan politik Melayu Islam.

“Sukar untuk melihat bagaimanakah UMNO dapat memulihkan kembali sentimen yang berlegar di dalam media sosial dan penyokong agak sukar untuk UMNO mengembalikan imej itu sebagai parti teras utama yang memperjuangkan Melayu Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Malah ulas Noor Nirwandy, dengan tindakan itu, sudah pasti pengundi dan akar umbi UMNO akan beralih kepada sebuah parti lain yang turut memperjuangkan Melayu dan Islam di negara ini.

“Kemungkinan masyarakat akan beralih tumpuan mereka kepada parti-parti yang mempunyai teras yang sama seperti Pas dan mungkin akan menjadi dominan dalam arena politik negara berteraskan Melatu dan Islam.

“Ini kerana masyarakat masih lagi melihat kepentingan parti Melayu Islam ini penting dalam negara dan mahukan parti Melayu Islam yang kuat dan boleh jadi satu parti yang berinovasi teras Islam dalam negara,” jelas beliau lagi.

Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin

Noor Nirwandy mengulas mengenai langkah beberapa pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan rundingan bagi membentuk kerajaan memandangkan tiada pihak yang memperoleh majoriti mudah dalam PRU15.

Ditanya samada kerjasama UMNO dengan PH akan memberikan impak kepada masyarakat Melayu, beliau berkata ia sememangnya akan wujud kerana parti itu sudah sinonim dengan kaum Melayu.

Justeru itu, katanya masyarakat Melayu yang menyokong UMNO pastinya akan memerlukan masa untuk mengadaptasikan situasi politik terkini ini.

“UMNO adalah sebuah parti yang dilihat begitu agresif memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu Islam di dalam negara dan sebuah parti yang menjadi tunjang dalam membentuk kemerdekaan negara.

“Sebagai sebuah parti yang cukup kuat dengan tema memperjuangkan Melayu Islam sudah tentu akan memberikan satu bentuk tanggapan yang agak menyimpang daripada nilai sebenar UMNO,” jelas Noor Nirwandy lagi. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Yang bermesyuarat di Seri Pasific tu rata2nya Melayu. Kerajaan yang mereka nak bangunkan tu pula adalah kerajaan DAP, mereka lupa itu kerajaan DAP… kah..kahh…kahh Sama2 kita tengok langkah dungu2 ini seterusnya!

    • Merepek…Bersatu pun pernah bersama DAP…malah PAS pun pernah bersama DAP…ada ahli2 PAS keluar? Ada ahli2 PAS desak presiden PAS letak jawatan? Ada berlaku malapetaka kpd PAS kaa? Tlg jawab sikit..pakai lah otak utk berfikir

  2. Jangan jadi mcm Bersatu, PAS. Harap dungu2 tu semua respect hasrat akar umbi NO ANWAR NO DAP, Jgn jadi dungu, lebih baik jadi pembangkang yang bermaruah!!!

Comments are closed.