Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang melihat sentimen dan retorik perkauman yang terus diapikan oleh segelintir pihak yang terdesak dan berkepentingan terutamanya di saat penting seperti sekarang.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu, usaha dan ikhtiar dalam menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab dan stabil tidak seharusnya berakhir dengan kekacauan.

Ini kerana, katanya, kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, suku kaum Sabah dan Sarawak adalah bersaudara sebagai manusia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

“Saya amat mengalu-alukan kenyataan tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani dalam menghentikan perkembangan yang mampu menggugat kemajmukan Malaysia ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Semalam Acryl menasihati rakyat tidak menimbulkan sebarang situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui media sosial susulan pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, PDRM telah mengesan tindakan sesetengah pengguna media sosial memuatnaik kandungan yang menyentuh sentimen perkauman, keagamaan serta unsur menghina institusi diraja.

Antara isu yang dimainkan di media sosial termasuk tragedi 13 Mei 1969. – MalaysiaGazette

Jangan cetus situasi ancam ketenteraman awam guna media sosial – KPN

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast