Anyi Ngau

KUALA LUMPUR – Anyi Ngau, calon dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) diisytiharkan menang bagi kerusi Parlimen Baram malam tadi.

Dengan kemenangan itu, jumlah rasmi diperolehi GPS dalam PRU15 ialah 23 kerusi.

Anyi mendapat 18,399 undi menewaskan lawannya Roland Engan dari Pakatan Harapan (PH) yang memperolehi 11,060 undi, manakala calon Bebas, Wilfred Entika hilang wang pertaruhan selepas mengumpul 324 undi.

Proses pengundian Parlimen Baram yang sepatutnya diadakan serentak Sabtu lalu telah ditangguhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan cuaca buruk.

Tarikh baharu hari pengundian kemudian ditetapkan semalam dengan GPS bertanding di semua 31 kerusi Parlimen, tetapi memenanginya sebanyak 23 kerusi.

GPS dianggotai komponen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). – MalaysiaGazette