LUSAIL (Qatar) – Dua gol memukau pada awal separuh masa kedua hasil jaringan Arab Saudi memberi kejutan besar kepada pasukan Argentina yang kecundang dengan kedudukan 2-1 pada perlawanan Piala Dunia FIFA 2022.
Gol itu hasil rembatan Saleh Al-Shehri dan Salem Al-Dawsari dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 88,000 penyokong, di Stadium Lusail, di Doha, lapor Agensi Berita Yonhap .
Argentina memperoleh gol pertama menerusi tendangan penalti oleh Lionel Messi pada minit ke-10 perlawanan.
Arab Saudi dianggap sebagai pasukan bukan pilihan dan sebaik Messi selesai menyempurnakan sepakan penaltinya, ramai seolah-olah sudah menjangka Argentina bakal menguasai perlawanan.
Dalam perlawanan itu menyaksikan tiga jaringan gol Argentina tidak dikira kerana ofsaid termasuk satu hasil rembatan Messi.
Arab Saudi membuka tirai jaringan pada minit ketiga separuh masa kedua menerusi jaringan Saleh Al-Shehri. Lima minit kemudian, Arab Saudi mendahului 2-1 selepas rembatan kaki kanan Salem Al-Dawsari membolosi gawang lawan.
Pada masa tambahan, pemain pertahanan Arab Saudi Abdulelah Al-Amri berjaya menanduk keluar rembatan pemain Argentina.
Kemeriahan Piala Dunia akan diteruskan dengan pasukan Australia dijadual menentang juara bertahan Perancis pada malam Selasa.
Jepun pula akan memulakan aksi Kumpulan E bertemu Jerman pada Rabu diikuti Korea Selatan dalam Kumpulan H menentang Uruguay pada Khamis.- BERNAMA