Dr. Zambry Abdul Kadir.

KUALA LUMPUR – Tiada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, BN menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi mengambil pendirian terbuka untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan, bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Tiada mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional yang telah memberikan sokongan terhadap pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10, dan pemakluman mengenai perkara ini telah dibuat kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

“Dengan pendirian dan keputusan yang dicapai, kedudukan Barisan Nasional adalah kekal seperti sekarang,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu katanya, BN meminta semua pihak yang berkaitan agar bertenang (cooling-off period) ketika mendepani situasi politik negara pada waktu ini.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen BN yang ditemui pagi tadi mengesahkan tidak menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong mana-mana parti untuk menubuhkan kerajaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendakwa memperolehi sokongan yang cukup untuk melayakkan PH menubuhkan kerajaan.

Perkara yang sama juga dinyatakan Presiden Pas yang menyatakan Perikatan Nasional (PN) berkeyakinan sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan pusat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast