Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menerima sebanyak 33 laporan berhubung insiden nama dan kad pengenalan (MyKad) digunakan oleh orang lain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesalahan itu merupakan antara 76 laporan yang diterima pihaknya dalam tempoh 5 hingga 19 November lalu atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 28 kertas siasatan dibuka membabitkan kes nama dan MyKad namun tiada sebarang tangkapan setakat ini.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu menyamar sebagai pengundi sebenar yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda sehingga RM5,000,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, dalam tempoh terbabit, sebanyak 43 kertas diasatan telah dibuka dan empat kes berjaya diselesaikan apabila empat suspek telah dihadapkan ke mahkamah.

“Kita turut menerima satu laporan berhubung satu video ceramah pemimpin parti politik yang menyentuh sensitiviti agama yang tular di media sosial.

“Video itu turut menerima laporan daripada kontinjen lain termasuklah tiga di Kuala Lumpur, dua di Perak serta masing-masing satu di Pahang, Kelantan dan Sabah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast