Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli Parlimen Kapar, Datuk Seri Saravanan bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional dan Mesyuarat Khas Ahli Parlimen Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) memohon penangguhan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Pemohonan penangguhan berkenaan dibuat selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam ini masih kekal dengan keputusan tidak memihak sama ada kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Perkara berkenaan disahkan oleh beberapa ahli Parlimen yang hadir mesyuarat berkenaan.

Antaranya, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional dan Mesyuarat Khas Ahli Parlimen Barisan Nasional di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2022.

“Kita belum pilih siapa-siapa, kalau boleh kita minta tangguh sebab kita sudah beritahu Istana Negara untuk menghadap Agong esok sebab kita nak meneliti beberapa perkara lagi.

“Kita minta Istana Negara boleh tangguh atau tidak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebelum meninggalkan Lobi Menara Dato’ Onn di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Arthur pula berkata, parti itu akan mengeluarkan kenyataan sama ada dibenarkan membuat penangguhan menghadap Agong esok atau sebaliknya.

“Kita masih belum buat keputusan. Kita akan buat keputusan selepas selesai perundingan, perundingan belum selesai. BN akan keluarkan kenyataan sama ada sesi menghadap Agong masih berlangsung atau tidak,” tambahnya.

Sementara itu,  Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, parti itu kekal tidak memihak PH atau PN untuk menubuhkan kerajaan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional dan Mesyuarat Khas Ahli Parlimen Barisan Nasional di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2022.

“Sehingga hari ini, kita tak ada apa-apa perubahan pendirian kita. Masih kekal pendirian kita seperti pagi tadi. Kita tak memberi sokongan mana-mana PH dan PN untuk membentuk kerajaan,” katanya lagi.

Malam tadi, Mesyuarat Dewan Tertinggi BN berlangsung buat kali kedua dalam masa sehari bagi membincangkan sokongan calon Perdana Menteri Ke-10 sebelum menghadap Agong di Istana Negara pada Rabu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

30 ahli Parlimen BN pula mengadap Agong esok