Sebahagian pengamal media yang membuat liputan pada Perjumpaan Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional, (PN) di Hotel ST Regis, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 23 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Selepas dua jam, pertemuan antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dipercayai berakhir kira-kira pukul 5 petang tadi.

Mereka semua dipercayai sudah meninggalkan Hotel St Regis di sini menggunakan pintu masuk berlainan.

Antara pemimpin yang hadir adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Timbalan Presiden PBRS, Datuk Athur Kurup mewakili BN.

Manakala bagi PN diwakili pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Antara lain adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pertemuan dua jam itu dipercayai bagi mengetahui tawaran yang boleh diberikan PN kepada 30 ahli Parlimen BN sekiranya menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri. – MalaysiaGazette