Mohamad Sofee (empat dari kanan) merupakan calon baharu PH bagi Parlimen Padang Serai.

GEORGE TOWN – Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Kedah, Dr Mohamad Sofee Razak diumumkan calon baharu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub di Pusat Perniagaan Seraya di Kulim hari ini.

Mohamad Sofee, 47, merupakan seorang peguam serta bekas calon yang pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil pada 2018.

Mohamad Sofee.

Beliau yang juga merangkap Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah itu merupakan lulusan Sarjana Komunikasi Massa dan Sarjana Muda Undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Hadir sama, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Proses penamaan calon PRU15 bagi Parlimen Padang Serai diadakan esok pagi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim.

Proses pilihan raya Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Disember ini susulan kematian calon yang bertanding.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 24 November sehingga jam 11.59 malam, 6 Disember.

Calon PH Padang Serai, M. Karupaiya, 69, dilapor meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kulim, jam 2.27 petang pada 16 November lalu.

Pada PRU15, Karupaiya berhadapan pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd Rahman (Pejuang); Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional); Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Ananda Ak (Bebas).

Untuk rekod pada PRU14 lalu, Karupaiya yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia berpangkat Pegawai Waran 1 berjaya meraih majoriti 8,813 undi.- MalaysiaGazette