KUALA LUMPUR – Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong tidak hadir dalam pertemuan antara pemimpin Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Hotel St. Regis petang ini.
Ka Siong yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau kini berada di pejabat.
“Saya kini berada di Ibu Pejabat MCA untuk urusan parti,” katanya sambil berkongsi sebuah foto sedang menyemak beberapa dokumen.
Media melaporkan, buat julung kali pasca PRU15 pemimpin BN dan PN bertemu di Hotel St. Regis.
Pertemuan itu dipercayai bagi merungkai kemelut politik negara yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.
Perjumpaan yang berlangsung bermula 3 petang dipercayai bagi membincangkan kerjasama bagi membentuk Kerajaan Persekutuan sekali gus memilih Perdana Menteri ke-10.
Ia dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden UMNO yang tiba pada jam 2.57 petang.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, kemudian tiba di hotel berkenaan pada jam 3.04 petang.
Ia diikuti Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zaimuddin pada jam 3.15 petang.
Yang di-Petuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok.
Perbicangan tersebut supaya Tuanku mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu bagi membolehkan baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta negara.
Perkembangan terkini itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamduddin dalam kenyataan hari ini.-MalaysiaGaztte