Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kelantan menyifatkan tindakan Pengerusi Perikatan (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyanggah cadangan Yang di-Pertuan Agong supaya menubuhkan kerajaan perpaduan sebagai angkuh dan sombong.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, sanggahan itu adalah satu lagi siri penderhakaan kepada istana tanpa langsung memikirkan kepentingan negara yang telah masuk hari kelima Parlimen tergantung.

“Meneliti sidang media Muhyiddin kelmarin, memberi gambaran sebenar kepada rakyat bahawa calon Perdana Menteri daripada PN ini seorang yang angkuh dan sombong.

“Terang-terangan beliau menyanggah permintaan Agong untuk mewujudkan kerajaan perpaduan setelah tiada satu parti pun mendapat majoriti mudah 112 kerusi selepas PRU15,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhyiddin pada sidang medianya Selasa dilaporkan mendedahkan Yang di-Pertuan Agong mencadangkan gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Presiden Parti Bersatu itu menolak cadangan berkenaan kera aia bertentangan dengan pendirian gabungan itu.

“Kami telah bincang sejak awal, Tak akan kerjasama dengan PH. Apa tujuan sekalipun, tak setuju.

“Jadi, saya diminta tandatangani surat – saya tanda ‘tak setuju’ untuk perpaduan perpaduan,” kata Muhyiddin di kediamannya di Bukit Damansara.

Menurut Noor Hariri, komposisi kaum dan agama Ahli Parlimen yang diwakili PN langsung tidak mencerminkan citra warna negara apabila hampir 99 peratus adalah Melayu Islam.

Oleh itu, katanya, Yang di-Pertuan Agong menyarankan agar ditubuhkan kerajaan perpaduan supaya suara rakyat daripada bangsa dan agama lain dapat digemakan di dalam Dewan Rakyat.

Kata beliau, UMNO sendiri tidak akan lupa dengan sifat dan sikap Muhyiddin yang berdendam serta mencari peluang untuk menghancurkan parti itu dengan kaedah pecah dan perintah.

“Kita masih ingat beliau awal-awal lagi telah membuat tindakan tidak bermoral untuk menjadi Perdana Menteri dengan ‘mencuri’ Ahli Parlimen BN dari pintu belakang tanpa ada rundingan rasmi dengan Pengerusi BN.

“Kita juga tidak akan lupa Muhyiddin jugalah yang mendalangi Langkah Sheraton sehingga jatuh kerajaan yang menjadi kepada permulaan episod negara Malaysia yang tidak stabil dan mengalami kemerosotan ekonomi akibat ketidakyakinan pelabur kepada kita akibat pelaksanaan darurat yang bermotifkan politik.

“Berdasarkan semua ini, Pemuda UMNO Kelantan amat kecewa dengan siri penderhakaan dan pengkhianatan yang masih diteruskan ini,” katanya.

Dalam pada itu, tegas beliau, Pemuda UMNO sama sekali tidak bersetuju sebarang kerjasama dengan PN dibuat kerana ianya hanya mementingkan diri tanpa meletakkan kepentingan negara di hadapan.

“Tiada niat lain bagi mereka hanyalah memenuhi personal agenda,” ujarnya. – MalaysiaGazette