Sidang media Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

KUALA LUMPUR – Para pemimpin UMNO yang telah mendesak presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan perlu kembali ke pangkal jalan dalam usaha memperkukuhkan parti.

Gesaan itu dibuat oleh 130 ketua-ketua Bahagian UMNO seluruh negara ekoran desakan pihak tertentu susulan kekalahan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Ketua Bahagian UMNO Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah, mereka berlapang dada terhadap ketelanjuran pemimpin terlibat selama ini.

“Jadi, saya harap sahabat-sahabat yang sudah kona baring itu kembalilah. Kita hanya menang 30 kerusi Parlimen tetapi ada sesetengah pihak mendesak Presiden UMNO letak jawatan.

“Kami juga mengingatkan kepada kebiadapan MCA, MIC dan PBRS yang menggesa Datuk Seri Presiden berundur sedangkan mereka bertanding di kerusi majoriti Melayu.

“Tetapi mereka tersilap (desak letak jawatan). Silalah kembali dan berlapang dada bersama kepimpinan parti,” katanya yang mewakili keseluruhan ketua-ketua bahagian UMNO pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, lebih 90 ketua-ketua Bahagian UMNO seluruh negara menyatakan sodariti kepada Ahmad Zahid ekoran desakan terhadap beliau untuk meletakkan jawatan.

Ahmad Zahid yang turut hadir pada majlis itu bagaimanapun, enggan mengulas kerana terpaksa bergegas ke Istana Negara bagi menyaksikan Istiadat Mengangkat Sumpah Perdana Menteri ke-10.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, Ahmad Zahid mengingatkan agar seluruh pemimpin dan akar umbi UMNO untuk bersatu ekoran masalah melanda parti itu selepas PRU15.

“Itu pesanan beliau dalam pertemuan ketua-ketua bahagian UMNO sebentar tadi,” ujarnya.

Ditanya mengenai pembentukan kerajaan pada hari ini, beliau difahamkan ia adalah Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) termasuk parti lain termasuk BN. – MalaysiaGazette