KAJANG – Nampaknya Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji untuk memberi cuti am semasa berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaik sahaja disahkan menjadi Perdana Menteri Ke-10 hari ini beliau mengumumkan 28 November ini sebagai hari cuti peristiwa sempena pelantikannya.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, perkara berkenaan juga sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Sebelum ini saya sudah berjanji untuk memberi cuti hari Isnin (21 November) namun tidak dapat dibereskan (tubuh kerajaan), namun kita dah bereskan hari ini, alhamdulillah.

“Saya akan tepati janji dan anjakkan cuti ini ke minggu depan, iaitu Isnin (depan),” katanya pada sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri di Dewan Rumah Kelab Sungai Long malam ini.

Anwar selesai mengangkat sumpah di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara petang tadi.

Ia sekaligus menamatkan kemelut lima hari Parlimen tergantung pasca PRU15 yang menyaksikan tiada mana-mana pihak berjaya mendominasi majoriti 50 peratus (112 kerusi Parlimen) daripada jumlah 222 yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette